Ummu Nisa

“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!” [As-Shafaat :100]

Monday, May 25, 2009

BAPA PENCORAK SIKAP ANAK-ANAK...

Bapa merupakan salah seorang daripada dua individu terpenting dalam pembentukan sahsiah dan identiti seorang anak. Anak pula merupakan penyejuk mata manusia dan buah hatinya dalam hidup ini. Anaklah yang menggembirakan umurnya dan yang menghiburkan hidupnya kerana anak-anaklah hidup menjadi ceria dan seronok dan kerana anak-anaklah bapa bekerja keras menampung keperluan mereka demi untuk membesarkan mereka agar menjadi manusia yang berjaya.
Oleh itu, wajarlah para bapa tidak mencuaikan bentuk pendidikan dan sentuhan kasih sayang yang diberikan kepada anak-anak agar anak-anak membesar dalam suasana penuh penghormatan, didikan yang tertib dan kasih sayang yang melimpah-ruah. Rahmat kasih sayang sejati serta akhlak Islam yang menonjol dalam kehidupan Rasulullah diungkapkan oleh Anas r.a. ketika dia berkata:
“‘Aku tidak pernah melihat seorang yang lebih merahmati keluarganya daripada Rasulullah s.a.w.’, sambil berkata lagi: ‘Adalah Ibrahim (putera Rasulullah s.a.w. dari Mariatul Qibtiah) disusukan bagi Rasulullah di utara Madinah, maka Rasulullah s.a.w. pergi ke sana bersama kami lalu memasuki rumah itu dengan mengambil Ibrahim lalu diciumnya lepas itu baru baginda kembali.’” (H.R. Muslim)
Abu Hurairah meriwayatkan:
“Bahawasanya Rasulullah s.a.w. mencium Hussin bin Ali r.a., maka berkatalah Al-Aqra’ bin Habas: ‘Sesungguhnya bagiku ada sepuluh orang anak tetapi aku tidak pernah mencium satu pun daripada mereka.’ Maka bersabdalah baginda: ‘Barangsiapa tidak merahmati, dia tidak dirahmati.’”
Pendidikan dalam bentuk bermesra dan bergurau-gurau dalam melayani anak-anak sangatlah digalakkan dalam Islam melalui teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. “Barangsiapa mempunyai anak kecil hendaklah menjadi anak kecil terhadapnya.” (Riwayat Ibn Asakir)
Rasulullah juga tidak membeza-bezakan layanan terhadap anak lelaki m anak perempuan. Ummul mukminin Aisyah r.a. meriwayatkan:
“Sesungguhnya apabila Fatimah r.a. masuk menemui Rasulullah s.a.w., baginda bangun menyambut kedatangan puteri baginda dan mengalu-alukan kedatangannya, menciumnya dan mendudukkan dia di majlis baginda. Begitu juga apabila Rasulullah s.a.w. masuk menemuinya (Fatimah) dia bangun menyambut Rasulullah s.a.w. dan mencium baginda dan mendudukkan Rasulullah s.a.w. di majlisnya dan sesungguhnya Fatimah telah masuk untuk berjumpa Rasulullah s.a.w. di masa baginda sedang sakit menjelang kewafatannya lalu baginda mengalu-alukan dia dan menciumnya.” (H.R. Bukhari dan Muslim)
Zaman masyarakat pos-moden yang berlaku di Barat dan kini menular dalam masyarakat Timur sedang menyaksikan keruntuhan akhlak manusia, renggangnya ikatan kekeluargaan serta rapuhnya ikatan hati sesama insan walaupun di antara suami dan isteri, anak dan ibu bapa. Kajian-kajian yang dijalankan mula menunjukkan ke satu arah iaitu apabila peranan seorang bapa gagal dijalankan, ia akan membentuk sikap yang sama pada anak-anak lelaki dan perempuannya yang kemudiannya akan melakukan perkara yang sama dalam perkahwinan mereka dan terhadap anak-anak mereka pula.
Di dalam buku ‘What A Difference A Daddy Makes’ oleh Dr Kevin Leman, beliau menggariskan sebab-sebab mengapa kehadiran seorang bapa yang berperanan sangat penting dalam kehidupan seorang anak:
1. Membentuk keyakinan diri seorang anak.
2. Mencorakkan maruah diri (self-esteem) seorang anak.
3. Meningkatkan kecerdasan emosi dan kepintaran akalnya.
4. Membentuk tanggapan anak perempuan terhadap lelaki yang mendampinginya.
5. Kepuasan anak dalam perkahwinannya sendiri.
6. Hubungannya kelak dengan anak-anaknya sendiri.
Anak-anak sangat memerlukan sentuhan, perhatian, belaian, kasih mesra, gurau senda serta ketegasan daripada seorang bapa. Bagi seorang anak, bapa yang selalu tiada di rumah menjadikannya seolah-olah seperti seorang anak yatim. Kerana itu, kepulangan seorang bapa tidak pernah disambut.
Kehadiran seorang bapa di rumah sama sahaja seperti ketiadaannya. Ini berlaku kerana tiadanya sentuhan samada dalam bentuk fizikal, perbuatan atau perkataan. Lama-kelamaan anak-anak hanya menjadikan bapa sebagai tempat meminta wang tetapi bukan sebagai tempat mengadu, bermain atau meluahkan masalah. Anak-anak merasakan mereka tidak ‘diterima’ oleh bapa sendiri. Ini menyebabkan anak-anak akan mengalihkan perhatian kepada kawan-kawan mereka yang menerima mereka seadanya.
Bapa yang terlalu garang, kerap mengkritik anak, tidak pernah mendengar luahan perasaan dan pendapat anak serta sering membuat keputusan yang bertentangan dengan kehendak anak (kerana merasakan keputusan mereka lebih baik) juga menyebabkan anak-anak merasa tersisih di dalam rumahnya sendiri. Perceraian dan poligami juga kadangkala menyebabkan bapa mula mengabaikan tanggungjawabnya memberikan perhatian kepada anak-anak yang sedang membesar. Keadaan menjadi lebih buruk setelah anak meningkat remaja. Mereka akan lebih mempercayai kawan-kawan dan lebih senang menghabiskan masa dengan kawan-kawan daripada bersama keluarga sendiri. Anak-anak begini akan mudah menerima huluran persahabatan daripada orang luar yang tidak dikenali. Mereka juga akan lebih mudah bersama dengan remaja lain yang juga mempunyai bapa sedemikian kerana kehadiran mereka ‘diterima’.
Penerimaan orang lain terhadap seseorang adalah sesuatu yang didambakan oleh setiap insan. Begitu juga dengan seorang anak yang mendambakan bapanya menerima kehadirannya dengan sepenuh hati, menghargai dan menyokong kebaikan anaknya, dan merangsang dan menggalakkan minatnya serta menegur dengan baik kesilapan yang dilakukannya. Sekiranya tugas ini gagal dijalankan oleh seorang bapa, anak-anak akan mengemis ‘penerimaan’ orang luar yang mungkin mengambil kesempatan daripada seorang anak yang dahagakan kasih sayang.
Perhatian yang diberikan oleh bapa kepada anak perempuannya didapati mempengaruhi hubungannya dengan lelaki lain. Anak perempuan yang mendapat cukup perhatian daripada bapanya akan meletakkan piawai (standard) yang tinggi terhadap lelaki yang mendampinginya. Dia tidak akan mudah terpengaruh dengan sifat luaran sahaja, tetapi dengan kualiti yang ada pada lelaki tersebut. Kajian mendapati anak perempuan yang tidak mendapat perhatian seorang bapa kerapkali bertemu dan berkahwin dengan lelaki yang juga kurang mengambil berat terhadap perasaan isteri, rumahtangga dan anak-anak.
Allah telah memuliakan kedudukan seorang bapa dan memerintahkan anak-anak taat terhadapnya seperti dalam surah Al-Ankabut ayat 8:
“Dan Kami wajibkan manusia (berbuat) kebaikan kepada kedua-dua orang ibu bapanya.”
Maka wajarlah pula seorang bapa menunaikan tanggungjawab dan amanah yang telah dipikulkan ke atas bahunya dengan menunaikan hak-hak anak dengan sebaik-baiknya. Hubungan bapa dan anak ibarat tali bersimpul mati. Ia tidak mungkin dirungkai semula hatta si bapa telah berpisah dengan ibu kepada anaknya. Hubungan ini akan dituntut pula di akhirat kelak dengan mempersoalkan tanggungjawab yang telah ditunaikan dan hak yang telah diberikan.
Hubungan yang sangat kudus ini juga tidak berakhir walaupun si anak telah berkahwin dan berkeluarga. Malah, sebuah hadis menunjukkan keutamaan seorang bapa yang berbuat baik terhadap anaknya yang telah janda.
Rasulullah bersabda kepada Suraqah bin Ju’syum:
“‘Mahukah kamu aku tunjukkan kepada sebesar-besar sedekah atau dari sebesar sedekah?’ Dia berkata: ‘Bahkan ya Rasulullah s.a.w.’ Baginda bersabda: ‘Puterimu yang telah menjadi janda (kerana perceraian atau kematian suami) pulang kembali kepadamu, yang tidak mempunyai tempat bergantung selain daripadamu.’” (H.R. Ahmad, An-Nasai dan Ibn Majah)
Anak-anak kita mungkin mempunyai ramai teman dan rakan serta boleh bertukar-tukar pasangan hidup, tetapi mereka hanya mempunyai seorang bapa sahaja di dunia ini.

Sunday, May 17, 2009

Selamat Hari Ibu...

Assalamualaikum w.r...
Alhamdulillah, dapat juga saya meluangkan sedikit masa untuk mengisi blog yang sekian lama dirindui. Kekangan masa dengan dah mula bekerja dan tak berapa sihat membuatkan saya agak liat nak menulis walaupun selalu surf internet. Belum terlewat lagi saya mengucapkan Selamat Hari Ibu pada mak, umi, sahabat2 yang bergelar ibu dan semua ibu2 di mana saja. Pengalaman bergelar ibu membuatkan saya merasakan betapa besarnya pengorbanan seorang ibu. Itu belum lagi dalam keadaan seperti ibu2 kita, anak2 yang ramai dan pelbagai cabaran hidup pada masa itu.
Saya mendoakan ibu2 pada zaman ini, terutamanya ibu2 muda cekal, tabah dan sentiasa sabar mendidik dan membesarkan anak2 kita dengan cabaran hidup yang besar di zaman ini. Ambillah pengalaman ibu kita sendiri dan pengalaman ibu2 lain membesarkan anak2 sebagai panduan. Cabaran yang besar menanti kita untuk menjadikan anak2 kita golongan yang soleh..insyaallah.
Sahabat saya kak Rosnah Ahmad ada mempromosikan saya sebuah buku yang bertajuk Ibu Madrasah Pertama Ku, berharga RM25.Buku ini mengandungi kisah dua puluh tiga orang ibu membesarkan anak-anak yang kini sudah berjaya di bidang masing-masing. Di sini saya petik sedikit preview mengenai buku tersebut :
' Ibu Madrasah Pertama Ku! Begitulah indahnya tajuk buku ini. Namun ia tidak seindah kasih sebenar seorang ibu. Namun kami yakin buku ini mampu membuatkan anda tersenyum disirami kasih ibu atau ketawa terkenangkan kisah lama atau menangis mengenangkan wajah ibu yang kini sudah berkedut dimamah usia atau mengalir air mata dek kerinduan pada bonda tercinta.Anggaplah buku ini sekadar sebutir permata. Bukan yang terbaik tapi cahayanya cukup untuk menyuluh kehidupan generasi kita dan selepas kita dalam melalui liku-liku kehidupan sebagai seorang insan soleh wa musleh.Tips daripada ibu madrasah pertama ku ini akan memberikan kita pelbagai pengajaran suka duka seorang ibu mendewasakan anak-anaknya. Sudah tentu tips tersebut dapat pula dimanfaatkan oleh kita untuk menyantuni anak-anak dan generasi muda di zaman kita dan akan datang.
Saya belum memilikinya, namun insyaallah sedang berusaha untuk memilikinya. Apakata kita himpunkan kisah ibu2 yang telah berjaya membesarkan anak2 sehingga berjaya. Tambah koleksi kita setelah ada koleksi peribadi ibu tercinta kita sendiri yang sememangnya amat mahal harganya kerna kita melalui sendiri madrasah itu.
Berminat?
Boleh melayari rohahassan.blogspot.com atau hubungi : Nazirah / Murni (03-41073379) atau Roha (012-4317948)